11.18.2011

Raja Azmi tak hormati majlis

'KELAKAR, kelakarlah penganjur sendiri boleh menang anugerah. Tak fahamlah festival filem ini,” tempik penerbit, Raja Azmi Raja Sulaiman di depan hadirin dan tetamu terhormat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis perasmian Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM 24), malam kelmarin.
Majlis di Panggung Anniversary, Tasik Perdana, Kuala Lumpur itu menyaksikan penerbit filem ...Dalam Botol itu memekik seolah tidak puas hati dengan keputusan Pengarah Harapan dimenangi Jurey Latiff Rosli menerusi filem Libas, hingga beredar dari majlis. 
Difahamkan, rasa tidak puas hati Raja Azmi ini kerana Jurey adalah Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Induk FFFM24 menang pada malam itu.

Raja Azmi turut dilihat membebel tidak berpuas hati ketika berselisih dengan Jurey ketika turun mengambil anugerah.
Apakah rasa tidak puas hati Raja Azmi itu kerana Khir Rahman yang berentap kategori itu melalui filem terbitannya, ...Dalam Botol tidak menang.

Tindakan Raja Azmi itu juga tidak menghairankan kala�ngan karyawan filem kerana sering menimbulkan rasa tidak puas sebelum ini.

Mereka sifatkan tindakan Raja Azmi itu tidak wajar dan tidak menghormati majlis kerana meluahkan rasa tidak puas hati di depan tetamu terutamanya Timbalan Perdana Menteri yang melihat kejadian itu.

Dalam hal ini, Jurey menegaskan, kemenangannya malam itu tiada kena-mengena dengan jawatan dan fungsinya dalam organisasi penganjuran FFM24.

Selain berkali-kali menegakkan filem arahannya, Libas terbitan MDAG Marketing Sdn Bhd memang layak bertanding mengikut kriteria yang ditetapkan, Jurey tidak sedikit pun marah sebaliknya hanya pasrah dengan pihak yang tidak berpuas hati.

“Jika ada individu atau mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan, ia bermakna mereka mempertikaikan kredibiliti barisan juri yang sudah mengangkat sumpah menjalankan tanggungjawab mereka secara telus. Bagi saya, mempertikaikan keputusan juri umpama penghinaan terhadap mereka.

“Libas memang layak bertanding kerana memenuhi syarat termasuk menerima tarikh wajib tayang bertepatan dengan syarat.

“Saya juga bekerja dengan produksi itu, jadi apa hak saya menolak pencalonan ini malah walaupun sudah mengarahkan banyak drama, Libas adalah arahan pertama untuk layar lebar.

“Saya serta jawatankuasa lain tidak masuk campur dalam penjurian kerana kita sudah ada juri profesional dan segala maklumat juga sulit.

“Ikhlas saya menggalas tanggungjawab penganjuran FFM24 meskipun tidak langsung dilapik dengan sebarang ganjaran sebaliknya tidak henti saya dihentam dengan kritikan dan kutukan sejak awal mengemudi. Namun semuanya saya telan dan menerima dengan hati yang terbuka.

“Justeru dakwaan me�ngatakan kemenangan ini berkaitan kedudukan saya dalam FFM 24 tidak masuk akal,” katanya.

Majlis pembukaan FFM24 berjaya mengubah segala-galanya buat graduan jurusan Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin apabila namanya diumumkan pemenang Pelakon Harapan Wanita menerusi lakonan hebatnya dalam filem Cun sentuhan sutradara Osman Ali.

Nadiya, 26, menyifatkan kemenangan itu sebagai pembuka mata kepada pihak lain melihat bakatnya dan memberikan ruang terbaik memperkenalkan namanya semula di gelanggang komersial.

Ini juga kejayaan berganda buat Nadiya kerana baru saja menang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2011(ASK2011) yang berlangsung 4 November lalu.

“Alhamdulillah saya tidak menyangka apabila diumum�kan pemenang kerana pencalonan yang diterima sudah cukup memberi kepuasan kepada saya.

“Maklumlah lebih lima tahun berlakon, pengiktirafan sebegini sudah memadai membayar kesungguhan dan komitmen saya sebagai seorang pelakon baru.

“Filem Cun adalah satu percubaan terbaik saya di depan kamera komersial yang sekali gus meletak nama saya di fasa yang lebih tinggi. Mana tidaknya, lekas bakat dan nama saya disebut-sebut walaupun sebelum ini saya sudah membintangi beberapa filem termasuk Dukun yang gagal ditayangkan dan Karaoke yang hanya dihasilkan untuk festival filem antarabangsa.

“Apapun dengan adanya trofi dan penghargaan seperti ini, saya akan kembali mencatur langkah perjalanan seni saya.

“Saya berharap akan lebih banyak pihak yang nampak bakat saya serta percaya de�ngan apa yang mampu saya berikan,” katanya.

Nadiya yang baru saja menjadi ibu kepada anak lelaki, Omar, dua bulan lalu, melihat pengiktirafan FFM24 mampu memimpin bintang baru sepertinya untuk mencipta nama lebih kemas dan sempurna.

Baru selesai penggambaran filem terbaru lakonannya, Bara Jiwa, Nadiya yakin dan percaya penganjuran FFM24 adalah satu usaha terbaik yang dilakukan bagi memartabatkan industri perfileman tanah air.

Turut dicalonkan untuk kategori ini ialah Mimie (One Nation Emcees) menerusi filem Klip 3GP, Sheera Ayob (Karak) dan Sara Ali (Penunggu Istana).

Bertemakan ‘Gemilang Filem Malaysia’, majlis perasmian FFM 24 malam kelmarin, dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

FFM 24 membuka tirai peng�iktirafannya dengan Malam Anugerah Gemilang Cipta mengumumkan 10 kategori yang dipertandingkan iaitu Poster Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Pelakon Harapan Lelaki, Lagu Tema Asal Terbaik, Pe�ngarah Harapan, Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik dan Filem Cereka Bukan Bahasa Melayu Terbaik.

KRU Studios mendominasi keputusan malam itu apabila membolot tiga trofi menerusi filem Hikayat Merong Mahawangsa iaitu Poster Terbaik, Kesan Visual Terbaik (Yusry Abdul Halim) dan Lagu Tema Asal Terbaik (Sedetik Lebih) nyanyian Anuar Zain ciptaan Edry Abdul Halim.

Turut mencatat kenangan manis, bintang muda yang membuktikan lakonan hebat dalam filem Hantu Bonceng, Taiyuddin Bakar untuk Pelakon Harapan Lelaki manakala bintang cilik, Mia Sara Nasuha dinobatkan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi filem Sekali Lagi.

Acara kemuncak FFM24, Malam Anugerah Gemilang Perdana bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini, jam 9 malam yang disiarkan secara langsung di Astro Prima (saluran 105).

No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.