11.28.2011

Selena kekal imej

TEMAN lelakinya, Justin Bieber dilibatkan dengan skandal anak luar nikah yang telah mencemarkan imej bersihnya selama ini.
Bagaimanapun, tidak kira sehebat mana kontroversi yang melanda Bieber, Selena Gomez berazam supaya reputasi baiknya di mata umum tidak tergugat.
Bintang berusia 19 tahun itu berpegang pada imej Disney disandangnya ketika menjalani penggambaran video muzik untuk lagunya Hit The Lights di California.

Sambil menari di lautan belon merah jambu, bekas bintang Wizards of Waverly Place itu kelihatan seperti seorang gadis yang polos.


Latar belakang untuk penggambaran video muzik itu turut dilakukan di ladang jagung, disko berwarna-warni, padang hijau dan hutan.

Dalam satu babak, Selena dilihat berlari bersama beberapa rakan di ladang jagung sambil menarik belon gergasi kuning.

Blaus dan skirt yang dipakainya jelas berbeza dengan imej seksi yang biasa dilihat dalam video nyanyian penyanyi sebayanya.

Dalam babak lain, Selena turut dilihat menari di lautan belon merah jambu, seolah-olah meniru gaya video muzik California Gurls nyanyian Katy Perry.

Bagaimanapun, dalam satu lagi babak, Selena muncul lebih menggoda dengan mempamerkan kaki panjangnya apabila memakai seluar pendek merah sambil bersandar di batang pokok.

Dalam babak yang dilakukan pada waktu malam pula, Selena muncul dengan skirt putih sambil menari berhampiran pancuran bunga api.

Sementara itu, Bieber dikhabarkan menjadi bapa kepada seorang bayi yang dilahirkan, baru-baru ini selepas berasmara dengan seorang peminat pada Oktober tahun lalu.

Bieber menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan memberitahu Today Show pada minggu lalu, dia sering menjadi sasaran atas tuduhan tidak berasas seperti itu.

Peguam kepada Mariah Yeater, wanita yang mendakwa Bieber adalah bapa kepada anak dilahirkannya, sebelum ini berkata, mereka berhasrat untuk menyelesaikan perkara itu secara peribadi.

Bagaimanapun, Selena tidak berbelah bahagi menyokong teman lelakinya itu dan pasangan remaja terbabit kelihatan seolah-olah sudah melupakan mengenai kontroversi itu apabila mereka tampil mesra dalam satu acara, baru-baru ini.

Mereka dilihat saling berpimpin tangan ketika meninggalkan restoran L’Avenue sebelum membeli-belah di butik Louis Vuitton sambil di kelilingi peminat di Paris, semalam.

Kemunculan Selena dan Bieber secara berasingan dalam Anugerah MTV Muzik Eropah (MTVEMA) di Belfast juga mempamerkan kombinasi profesionalisme yang cukup sempurna antara kedua-duanya.

Bertepatan dengan statusnya sebagai bintang pop, Bieber, 17, menerima trofi bagi gelaran Anugerah Lelaki Terbaik, tetapi teman wanitanya yang cantik jelita menghadapi tugas berat kerana terpaksa membuat penampilan sepanjang acara berlangsung.

Selena benar-benar mempamerkan kematangan apabila muncul di karpet merah jambu pada acara penutup dengan senyuman lebar tanpa menunjukkan sebarang riak wajah tertekan.

Dia mempersembahkan lagu Hit The Lights sambil mengelilingi pentas dengan seluar ketat ungu berkilauan.

Pasangan itu memilih untuk tidak membuat kemunculan bersama kerana masing-masing ingin menunjukkan bakat tersendiri yang dimiliki mereka.

Bieber membiarkan saja teman wanitanya menyerlah dalam acara itu dan dia dilihat berbual bersama rakan artis termasuk aktres siri drama Heroes, Hayden Panettiere.

Selena kemudian menulis dalam Twitter selepas acara itu: “Terima kasih MTV kerana memberi saya peluang untuk menjadi pengacara EMA tahun ini. Terima kasih kepada semua yang mengikuti perkembangan sepanjang hujung minggu ini. Terima kasih kepada semua yang menonton MTVEMA tahun ini. Saya melalui detik pengalaman yang amat hebat !!! Saya sayangkan anda semua.”

Sementara itu, Hit The Lights adalah single ketiga daripada album ketiga Selena, When The Sun Goes down bersama Hollywood Records.

Video muzik lagu Hit The Lights akan dikeluarkan pada Rabu depan.


No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.