12.04.2011

Aksi Pitbull menyengat

TEMPOH 50 minit beraksi bukan satu jangkamasa biasa bagi mana-mana konsert artis antarabangsa yang datang ke Malaysia.
Namun kalau hati sudah suka, semua itu bukan masalah. Beli saja tiket dan tengok konsert yang pendek pun tidak mengapa asalkan hati puas. 
Itu antara reaksi didengar dari kalangan 15,000 peminat menyaksikan konsert Pitbull Live In Concert Kuala Lumpur 2011 di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Sekalipun persembahan penyanyi rap berdarah Cuba-Amerika Syarikat ini lewat sejam akibat hujan lebat, ribuan peminat tidak berganjak langsung menantikan kemunculannya.



Dapat disaksikan mereka yang datang menonton adalah daripada pelbagai bangsa termasuk pelajar, pekerja dan pelancong asing dari Barat dan Timur Tengah.

Tatkala DJ Maz dan Dj Big Shype memutarkan muzik diikuti kemunculan penyanyi What You Waiting For, Mizz Nina muncul pada jam 9.45 malam, sorak gempita bergema di taman tema terkenal itu.

Tepat jam 10.25 malam, barulah imej penyanyi rap berkepala botak dan seksi itu tampil ke pentas. Dia nampak kemas dalam sut serba hitam dan berkaca mata gelap.

Tanpa berlengah, penyanyi genre Reggaton/Pop Dance ini dengan nama sebenarnya, Armando Christian Perez, menyampaikan lagu pembukaan konsert bertajuk Shut It Down.

Selang beberapa lagu seperti I Gotta Feeling (FMIF Remix) dan Hey Baby (Drop It to the Floor), penyanyi ini sempat menyapa penonton dalam suara serak basah yang sabar menunggu persembahannya sekalipun tapak konsert dilanda hujan dan guruh.

“Hello Kuala Lumpur, terima kasih kepada anda semua kerana sanggup berada di sini bersama saya hingga hujan berhenti. Kita teruskan konsert ini bersama,” katanya sambil disahut sorakan dan jeritan namanya dilaungkan.

Selain itu, banyak lagu lain kedengaran pada persembahan diwarnai bunyi ‘disco-techno-beat’ dan ‘clubbing sound’ yang padat. Pitbull tidak berseorangan kerana turut diiringi beberapa pemuzik bermain saksofon, gitar bass, keyboards
serta dram dan Pitbull tidak ketinggalan mengetuk sama ‘ride cymbal’.

Bagaimanapun, Pitbull juga beberapa kali bercakap dalam bahasa latin yang membuatkan penonton terpinga-pingat tetapi itu bukan penghalang muzik sebagai bahasa sejagat mudah difahami semua lapisan peminat dan latar yang datang.

Beberapa lagu lain turut dinyanyikan Pitbull adalah Pause, Something For the DJ’s, Shake/C**o, I Know You Want Me, Come N Go, Rain Over Me, On the Floor/I Like It/DJ Got Us, Fallin’ In Love, Hotel Room Service dan Give Me Everything.

Apa lebih menarik, tapak pentas konsert ini berada pada paksi baru berbanding dua konsert antarabangsa artis nama besar seperti Slash dan Ne-Yo sebelum ini.
Susunan baru ini membolehkan pengunjung menikmati pemandangan lebih baik dari segi pencahayaan dan bunyi ‘surrounding’ lebih mantap.

Bukan itu saja, Pitbull juga mengambil intro riff gitar artis rock seperti seperti Are You Gonna Go My Way oleh Lenny Kravitz dan Smells Like Teen Spirit oleh band alternative rock, Nirvana. Tidak ketinggalan, kedengaran lagu Black Eyed Peas dan beberapa artis lain yang turut disuntik sebagai ‘gimik konsert’.

Konsert ini adalah kunjungan kali kedua Pitbull ke Malaysia selepas datang ke sini tahun lalu. Bagaimanapun, beberapa artis nama besar berkolaborasi bersamanya dalam album Planet Pit tidak bersamanya di Kuala Lumpur.

Antara artis membuat penampilan khas dalam album kelimanya itu adalah Marc Anthony untuk lagu Rain Over Me, On The Floor (Jeniffer Lopez), Give Me Everything (Afrojack, Ne-Yo dan Nayer) termasuk deejay terkenal Perancis, David Guetta dalam Something For The DJs.

Muzik Pitbull banyak dipengaruhi genre hip-hop Miami bass dan menyatakan Celia Cruz dan Willy Chirino sebagai sumber inspirasi utama beliau. Pitbull kini dalam rangka konsert jelajahnya ke India sebelum menjayakan konsert di Indonesia

No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.