12.04.2011

Ikon filem Bollywood meninggal dunia

MUMBAI: Hero filem romantik Bollywood dan ikon fesyen, Dev Anand, 88, meninggal dunia, semalam.
Sejak berita itu diketahui, ucapan takziah mula mencurah masuk daripada mereka yang berada dalam industri perfileman Hindustan.
Agensi berita The Press Trust of India melaporkan, Dev yang sebaris pelakon Raj Kapoor dan Dilip Kumar ketika di zaman kegemilangan mereka di Bollywood, meninggal dunia akibat sakit jantung di London.

Menurut sumber keluarga, dia berada di sana untuk pemeriksaan kesihatan dan tidak sihat sejak beberapa hari lalu.


Dev sering dibandingkan dengan pelakon AS Gregory Peck kerana kerana raut wajahnya dan menjadi idola peminat.

Dikenali sebagai ‘Dev Yang Periang’, dia terkenal kerana sangat aktif dan cintanya kepada filem. Dia membintangi lebih daripada 100 filem.

Kerjayanya bermula dengan filem ‘Hum Ek Hain’ (Kita Satu) bersama sahabat Guru Dutt pada 1946. Dia terus berlakon sehingga ke usia emas dan filem terbarunya, ‘Chargesheet’, adalah filem yang diterbitkan oleh syarikat filemnya sendiri, awal tahun ini.

“Saya tak boleh hidup tanpa filem, panggung wayang dan kerja saya,” katanya kepada bollywoodhungama.com, pada 2007.

“Bagi saya, saya akan terus menerbitkan filem dan berlakon hinggalah hari saya mati. Itulah cinta pertama dan terakhir saya,” katanya.

Bintang filem Amitabh Bachan dan Anupam Kher, Shabana Azim dan Shah Rukh Khan begitu sedih dengan pemergian Dev. Mereka menulis balasungkawa di laman Twitter masing-masing dengan memuji sikap optimistiknya dan menyifatkan mendiang sebagai orang yang sentiasa riang.

Anupam Kher menyifatkan Dev sebagai seorang yang “baik, sangat emosi, berani, jujur, menawan, sering memberi perangsang, kontemporari, seorang ketua dan insan yang sangat baik. Kami akan merinduinya.”

Penulis, Salman Rushdie menulis, “RIP Dev Anand. Saya membesar dengan menonton filem anda. Sedih kerana terpaksa ucapkan selamat tinggal.”

Dev Anand dilahirkan pada 26 September, 1923 di Gurdaspur di wilayah Punjab, bekas tanah jajahan Britian di India dan sekarang sebahagian daripada Pakistan. Dia mendapat pendidikan di Lahore.

Dia ke Bombay, (sekarang Mumbai) untuk meneruskan karier dalam lakonan. - AFP


No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.