3.26.2012

RUMAH MAWI DIROMPAK

ASSALAMULAIKUM HAI APA KABAR SEMUA BLOGGER SEMUA


PETALING JAYA – Penyanyi popular, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi menceritakan kepada media detik-detik cemas berhubung rumah banglonya yang dipecah masuk sekumpulan perompak yang bertindak mengacukan pisau ke leher isterinya, Nora’Asikin Rahmat atau Ekin.

Menurut Mawi, dia yang baru pulang dari siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) ketika itu baru saja mahu melelapkan mata namun terjaga terdengar pintu biliknya diketuk kuat.

Kemudian, Ekin bangun untuk membuka pintu kerana menyangka pembantu rumah mereka yang mengetuk pintu.

Mengejutkan, seramai empat orang perompak muncul dan menolak Ekin jatuh di atas katil sebelum mengikat tangan Mawi dan isterinya serta menutup kepala penyanyi itu dengan baju.

“Saya baru nak lelapkan mata selepas pulang dari Johor Baru bagi menjayakan siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang bakal berlangsung tak lama lagi.

“Tiba-tiba saya terjaga apabila pintu bilik diketuk kuat dan Ekin yang membuka pintu itu kerana menyangka pembantu rumah kami yang berbuat demikian.

“Kemudian, Ekin terus ditolak ke atas katil dan seramai tiga daripada empat perompak yang berpakaian serba hitam mengikat tangannya dan saya. Lebih mencemaskan ialah apabila wajah saya ditutup dengan baju,” kata Mawi yang dipetik dari laman berita Mstar Online, di sini hari ini.

Lebih mencemaskan dirinya ialah apabila salah seorang perompak bertopeng itu mengacukan pisau ke leher isterinya dan mengugut mereka untuk menyerahkan barangan berharga sebelum bertindak mengeledah rumah mereka.

Kumpulan perompak itu bagaimanapun berjaya melarikan seutas rantai, telefon bimbit dan wang tunai yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM10,000 dari rumahnya yang terletak di Bangi Golf Resort itu.

Selain Mawi dan isteri, turut berada di rumah tersebut ketika kejadian ialah ibu mertuanya, Fatimah Saad, 55, neneknya, Salmah Sehan, 77, anak mereka yang baru dilahirkan, Cahaya Malaika dan seorang pembantu rumah yang dihambat naik ke tingkat atas dan turut diikat kumpulan penjenayah tersebut.

Mawi bagaimanapun berjaya melepaskan diri dengan menggigit tali yang mengikat kedua belah tangannya sebelum menyelamatkan ahli-ahli keluarganya yang lain.

“Selepas mereka (perompak) keluar dari rumah, saya membuka ikatan menggunakan gigi lalu menyelamatkan isteri, ibu mertua dan nenek lalu membuat laporan polis dengan segera,” katanya lagi.

Penyanyi yang terkenal dengan ‘aura’nya itu turut mengesyaki bahawa kumpulan perompak tersebut masuk rumahnya menggunakan tangga aluminium yang dikatakan diambil dari tapak pembinaan berhampiran sebelum memecah masuk ke banglonya melalui tingkap dapur.

Ketua Polis daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab Wahab memberitahu media bahawa pihaknya telah menahan tiga pekerja buruh tapak pembinaan di sebelah kediaman Mawi tiga jam selepas kejadian bagi membantu siasatan.

Menurutnya lagi, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dan rompakan dengan senjata. – Mynewshub.mya

No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.