5.05.2012

Artis gembira dapat beramal(myMetro)

SELAMA dua hari mulai hari ini (Sabtu) akan berlangsung Karnival Wanita pertama anjuran Women Arts and International Traders Sdn Bhd (Wanita), MySoHo serta Stars Touch Media Sdn Bhd.
Karnival itu diadakan di Red Carpet, The Strands, Kota Damansara, Kuala lumpur di mana lokasi ditaja Encorp Strand Kota Damansara. 
Jualan untuk orang awam akan bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Ia diadakan bagi menggalakkan wanita menceburkan diri dalam bidang perniagaan di samping mengajak penduduk setempat untuk memeriahkan acara dengan datang membeli-belah di karnival ini yang terbuka untuk seisi keluarga.

Encorp juga sudi menaja bahagian kanak-kanak (Kidz Corner) yang dikhaskan untuk kanak-kanak bermain sementara menunggu ibu bapa mereka memilih barangan.

Karnival ini juga akan menyaksikan beberapa ikon Wanita yang akan turun padang untuk bersama-sama menjayakannya bersama masyarakat.

Bagi menambahkan keceriaan di karnival, penganjur tidak lupa mengundang artis terkenal seperti Awie, Fizz Fairuz dan Ainul Aishah.

Di samping datang untuk berjumpa peminat di situ, menariknya Ainul juga tidak melepaskan peluang berniaga minuman kesihatan.

“Saya memang suka melakukan kerja amal kerana ini sajalah yang saya dapat lakukan untuk membantu mereka yang kurang bernasib apatah lagi adik-adik yang kurang bernasib baik yang tidak pernah merasai belaian ibu bapa sejak kecil. Saya akan menjual minuman kesihatan dan sebahagian daripada hasil jualan itu nanti akan disumbangkan ke rumah anak yatim yang terpilih.

“Selain meminati bidang seni, saya memang suka berniaga dan melalui keuntungan yang diperoleh itu bolehlah dikongsikan dengan masyarakat. Saya sangat berbesar hati apabila penganjur sudi menjemput saya menjayakan karnival ini. Dengan adanya acara seperti ini, senang untuk kita berkumpul dan berjual beli barang.

“Kepada masyarakat setempat dan mereka yang tinggal berhampiran Kota Damansara, datanglah beramai-ramai kerana semua barangan dijual pada harga berpatutan. Secara tidak langsung sambil membeli, mereka turut menderma,” katanya ketika dihubungi.

Acara lain termasuk melelong perabot tajaan mewah yang mana hasil lelongan itu akan disalurkan kepada badan kebajikan yang akan diumumkan nanti.

Dijangkakan, lebih 30 peniaga akan menjalankan pelbagai aktiviti di karnival. Turut diadakan Pertandingan Karaoke Awie dengan yuran penyertaan sebanyak RM10 saja dan semua hasil kutipan itu akan diserahkan kepada Rumah Anak Yatim Kuang, Selangor.

Orang ramai bukan saja boleh datang untuk beli-belah barangan pada harga yang sangat berpatutan, tetapi mereka juga boleh belajar memasak menerusi demonstrasi masakan dan cara menghias kek cawan dan pertunjukan fesyen oleh pereka cyber terkenal, Hideaki selain beberapa pengeluar fesyen yang terdiri daripada ahli persatuan Wanita sendiri.

Bazar jualan lain termasuklah yang menjual batik, aksesori kereta, beg tangan berjenama antarabangsa, baju muslimah, pakaian kanak-kanak, produk kesihatan, produk kecantikan dan mini ‘pocket bike’.



Sumber : myMetro

No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.