5.05.2012

Kak Pah tetap unggul(myMetro)

SELAMA 44 tahun melewati lagu pelbagai genre, vokalnya tidak pernah menjemukan halwa telinga. Itulah kelebihan pemilik suara merdu, Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar yang tetap unggul di hati pencintanya.
Ternyata bukan mudah untuk seseorang penghibur ‘evergreen’ mendendangkan berbelas lagu secara langsung bersama sekumpulan pemuzik profesional yang ramai, namun beliau yang mesra disapa Kak Pah, tetap gagah melakukannya. 
Kehebatan Kak Pah itu terserlah ketika menjayakan konsert khas - Eksklusif Datuk Sharifah Aini Bersama Orkestra RTM - di Auditorium Perdana, Angkasapuri, baru-baru ini.

Hampir sedekad tidak membuat persembahan solo bersama orkestra itu, Kak Pah kembali bergabung sempena siri bagi mengisi Kalender Orkestra RTM pada 2012. Sebagai mana ramai ketahui, Orkestra RTM baru menyambut ulang tahun ke-50 tahun lalu dan selayaknya mereka memberikan satu ‘tribute’ kepada legenda yang masih hidup seperti Kak Pah, bak kata penerbit konsert itu, Haliza Md Kharsa.

“Sebelum ini kita selalu melihat konsert ‘tribute’ diberikan kepada bintang yang sudah tiada lagi seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sudirman dan Datuk Ahmad Jais, namun akan lebih bermakna lagi kalau ‘tribute’ itu diberikan kepada penghibur ketika mereka masih hidup. Inilah yang Orkestra RTM ingin lakukan dan selepas ini ramai lagi artis handalan lain akan ditonjolkan,” katanya.

Bagi Kak Pah sendiri, Orkestra RTM sememangnya cukup dekat di hatinya kerana pada era 1970an, penyanyi lagu Bunga Tanjung itu pernah membuat konsert jelajah di rantau Asean bersama orkestra tersohor itu. Kali terakhir Kak Pah membuat persembahan besar bersama Orkestra RTM pada 2000 di Shah Alam.

Malah sokongan yang diberikan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail; Pengarah Orkestra, Datuk Mokhzani Ismail serta konduktor Jimmy Ali membuatkan hati Kak Pah begitu berbunga menyanyi dalam suasana dekorasi cantik, bersama gantungan chandelier serta bingkai potret wajahnya dalam auditorium itu.

Pada malam itu, Kak Pah membahagikan persembahannya mengikut genre lagu seperti Melayu Klasik, Ghazal, Inggeris, Medley Pop, Irama Hindustan dan Arab.

Maka bergemalah lagu-lagu hit beliau yang tidak pernah lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas, sejak zaman Kassim Masdor, Datuk Ahmad Nawab dan A Riyanto lagi.

Membuka tirai dengan Seri Dewi Malam, Kak Pah terus membuai perasan peminatnya termasuk warga Eropah dengan lagu Burung Pungguk, Teratai, Empat Dara, Sayang Musalmah, Kau Tinggi Di Awan Biru, Tiada Maaf Bagimu, Hapuslah Airmatamu dan Setulus Cintamu.

Kemudian terdengar pula lagu Mendiang Broery Marantika, Biar Bulan Bicara, diikuti dua lagu Inggeris, Forever And Ever serta Smile (bersama iringan piano solo oleh Datuk Mokhzani).

Dari sudut emosi, beberapa kali hati Kak Pah tersentuh, seawal mendendangkan lagu Sayang Musalmah lagi. Kata Kak Pah, beliau tidak dapat menahan air mata lagi kerana terkenangkan itu lagu kegemaran arwah ayahnya.

Setiap kali selesai menyanyi, peminatnya daripada pelbagai kaum dan usia termasuk yang membawa sepanduk, memberikan tepukan bergemuruh. Ketika berehat menukar busana, dua pelawak popular Azrul dan Jihan muncul dengan sketsa yang menggeletek hati.

Seterusnya, Kak Pah menyambung persembahan dengan lagu seperti Ku Curah Kasih Dalam Lagu, Di Malam Persandingan dan Kau Pergi Tanpa Pesan, Surat Dari seberang, Jangan Tinggalkan Daku, Ingatan Manis Di Bulan September, Bunga Tanjung dan menutup konsert itu dengan melodi Irama Cintaku.

Pada acara itu, Kak Pah turut mempromosikan persembahan sempena Hari Ibu yang akan berlangsung pada 12 Mei ini di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Bagi peminat yang masih belum mendapatkan tempat mereka boleh menghubungi 019-3973558 atau e-mel ke limeevent@gmail.com.


Sumber : myMetro

No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.