5.22.2012

Pengakuan Catriona Ross

~Semuanya bermula apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC pada 14 Julai lalu.
Tergerak hatinya mencuba satu tudung dan ketika melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga bergenang air mata. Sepantas kilat ditanggalkan tudung itu.
Dia yang dihenyak perasaan pilu, hiba dan syahdu kemudian berpusing ke arah temannya seraya spontan meluahkan hasrat mahu memakai tudung. Luahan itu bagaimanapun mengundang tawa sahabatnya kerana menyangka dia bergurau.
"Ketika memandu pulang ke rumah, saya menangis. Sukar untuk jelaskan perasaan saya ketika itu. Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah dari Allah.
"Sepanjang perjalanan, saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Terharu dan rasa istimewa apabila Allah buka pintu hati saya. Memang sebelum itu pernah terfikir untuk menutup aurat tetapi teragak-agak untuk melaksanakannya.
"Esoknya di rumah, saya gelisah dan rasa serba tak kena. Asyik terfikir untuk memakai tudung dan malamnya saya tidak boleh tidur. Kebetulan pula suami tiada di rumah kerana bertugas di luar Kuala Lumpur, jadi tiada tempat untuk saya mengadu," katanya sambil menghela nafas panjang.
Pagi Jumaat (16 Julai lalu), berjam-jam pelakon yang popular menerusi drama rantaian Sephia ini menyelongkar almari mencari hijab namun kecewa apabila yang ada hanya selendang.
Dia kemudian menghubungi teman karibnya untuk meminjam tudung. Terkejut dengan permintaan itu, temannya mengajak Cat ke butik untuk belikan beberapa helai tudung. Selesai membuat pembayaran, hijab yang dihadiahkan temannya itu terus disarungkan di kepala.
"Sejak itu saya terus bertudung. Tekad saya, sekali bertudung Insya-Allah saya akan kekal begitu hingga ke akhir hayat. Itu prinsip yang saya pegang sejak kecil.
"Apabila pulang ke rumah, suami menyambut saya di muka pintu dan dia terkejut dengan perubahan itu. Dia bertanya adakah saya benar-benar serius. Selepas berkongsi apa yang saya alami dalam tempoh 48 jam itu, dia ternyata gembira dengan keputusan saya.
"Banyak nikmat yang Allah beri kepada hamba-Nya dan apa yang saya mohon selama ini dalam doa dimakbulkan. Masih segar dalam ingatan, selepas terbabit dalam nahas jalan raya, saya tidak putus-putus berdoa supaya boleh berjalan semula dan doa itu Allah perkenankan.
"Kemudian, ada suara sumbang bercakap saya tak boleh hamil kerana mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu tetapi Allah makbulkan doa saya.
Alhamdulillah saya bunting pelamin. Jadi, nikmat Tuhan yang mana lagi nak saya dustakan?
"Saya nekad bertudung kerana tidak mahu terus menerus buta hati. Jiwa saya bagai disiat-siat ketika mendapat hidayah dalam butik itu. Jauh di sudut hati, saya dapat rasakan itu adalah seru daripada Allah.
"Syukur, saat mula-mula pakai hijab hingga sekarang, hati saya tenang dan damai. Ada rasa bahagia yang tidak boleh dizahirkan dengan kata-kata. Ketenangan itu cuma Allah, saya dan teman sehijrah yang faham," kata anak jati Kota Bharu Kelantan ini yang menahan air mata daripada mengalir.

No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.