1.11.2014

dakwa kandungan ghaib

BISMIIlAHIRAHMANIRAHIM DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PERMURAH LAGI MAHA PENYAYANG, ASSALAMULAIKUM HELLO

PARIT BUNTAR - Keterujaan sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata kedua terbantut apabila kandungan yang sudah berusia lima bulan disahkan ghaib tiba-tiba, minggu lalu.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai  Liza, 30, berkata, seorang doktor perubatan mengesahkan janin dikandungnya ghaib ketika dia menjalani pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan, di sini.

Menurutnya, dua minggu sebelum kejadian, jururawat bertugas meminta supaya dia mengamalkan pemakanan sihat berikutan berat kandungan bayinya yang berusia hampir lima bulan ketika itu semakin berkurangan.

“Bagaimanapun, setelah hampir dua minggu berulang-alik ke klinik kesihatan itu untuk menjalani pemeriksaan rutin, kami dikejutkan dengan berita kehilangan bayi dalam kandungan secara tiba-tiba.

“Kami sememangnya tidak percaya bayi dalam kandungan hilang kerana kami baru sahaja melihat imej bayi itu melalui mesin pengimejan ultra sound beberapa hari sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Liza berkata, pada mulanya dia tidak mempercayai penjelasan diberikan petugas klinik kesihatan terbabit dan bertemu seorang doktor perbidanan serta sakit puan untuk mendapatkan kepastian.

Bagaimanapun, mangsa dan suami sekali lagi terkejut apabila hasil pemeriksaan doktor terbabit turut mengesahkan kehilangan janinnya.

“Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku, kami segera mendapatkan penjelasan mengenai fenomena pelik menimpa bayi kami di Hospital Parit Buntar.

“Hasil pemeriksaan kali ketiga di hospital itu sekali lagi mengesahkan kandungan saya hilang dan doktor memberi alasan kehilangannya disebabkan berlaku pengecutan pada janin,” katanya.

Menurutnya, sebalik pengesahan dibuat doktor, dia masih tidak berputus asa dan mencuba rawatan perubatan tradisional dengan harapan dapat memulihkan kandungannya.

Bagaimanapun, usaha Liza dan suaminya tidak berhasil apabila lima pengamal perubatan tradisional yang ditemui mendakwa bayi dalam kandungannya dilarikan makhluk halus atau orang bunian.

“Kini, saya trauma dan sering menangis melihat barang kelengkapan bayi yang dibeli sebelum ini sebagai persediaan menyambut anak yang dijangka lahir April ini.

“Namun begitu, saya dan suami reda dengan ketentuan Ilahi serta percaya ada hikmah di sebalik kejadian aneh ini,” katanya.

Liza turut menjelaskan, dia kini menunggu panggilan daripada Hospital Taiping untuk menjalankan rawatan mencuci rahimnya meskipun kandungannya disahkan hilang.

“Kejadian yang berlaku turut menginsafi kami sekeluarga dan saya berharap kejadian aneh ini dapat dijadikan pengajaran kepada ibu mengandung lain,” katanya.

 
Hilang janin ada kaitan perkara ghaib

Kebanyakan kes kehilangan janin  dialami segelintir pasangan kebiasaannya berkaitan dengan perkara ghaib dan kejadian paranormal yang terjadi dengan izin ALLAH SWT.

Setiausaha Pertubuhan Darussyifa’ Negeri Perak, Zulkifli Zainon Al-Hafiz berkata, menurut pandangan Islam, kejadian aneh seperti kes kehilangan janin secara tiba-tiba boleh dipercayai berlaku meskipun tidak dapat dibuktikan
secara saintifik.

Menurutnya, kes melibatkan perkara ghaib sebegini banyak diceritakan dalam hadis Nabi, termasuk sebuah fatwa dikeluarkan Imam Abu Hanifah RA yang menceritakan seorang wanita menemui beliau mengadu tidak pasti sama ada disetubuhi suaminya atau lembaga kerana tidak merasai apa-apa ketika proses penggaulan berlaku.

“Wanita terbabit turut bertanya Imam Abu Hanifah RA sama ada dia perlu melakukan mandi junub meskipun tidak pasti dengan siapa dia disetubuhi.

“Lalu, Imam Abu Hanifah RA menjelaskan kepada wanita itu bahawa dia tidak perlu mandi junub disebabkan tiada kesan zahir berlakunya aktiviti persetubuhan pada tubuh wanita terbabit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Zulkifli berkata, berkaitan kes kehilangan janin, kebanyakan pengamal perubatan Islam mengistilahkan kes sebegini sebagai kes penculikan bayi oleh makhluk halus.

Menurutnya, terdapat tiga punca berlakunya kes sebegini iaitu janin bayi terbabit diambil makhluk ghaib untuk dijadikan makanan, janin hilang akibat perbuatan sihir dan penglibatan mangsa dengan jin secara langsung atau tidak.

“Dalam hadis Rasulullah SAW ada menyatakan darah milik janin yang belum sempurna sifatnya amat disukai jin dan dianggap makanan kegemaran makhluk itu.

“Mengenai penglibatan mangsa dengan jin, kadangkala ada mangsa tidak menyedari dia mewarisi saka dan mengalami kehilangan janin akibat gangguan jin saka itu,” katanya.

Beliau berkata, kes unik seperti kes ini dan fenomena gigitan hantu pernah dirujuk kepada doktor perubatan moden dan mereka mengakui fenomena terbabit masih gagal dirungkai serta tidak dapat dibuktikan puncanya secara saintifik sehingga kini.

Menurutnya, sepanjang pengalamannya bersama Pertubuhan Darussyifa’, beliau turut berhadapan fenomena wanita melahirkan makhluk selain manusia meskipun hasil pemeriksaan doktor mengesahkan bayi dalam perut mangsa berbentuk manusia.

Katanya, umat Islam wajib mempercayai perkara ghaib dan hukum menolak kewujudannya adalah kufur.

“Bagi pasangan yang kehilangan janin terbabit, mereka perlu menganggap kejadian berlaku untuk menzahirkan betapa tinggi dan agungnya kuasa ALLAH SWT berbanding manusia.

“Selain itu, mereka perlu mendapatkan rawatan perubatan Islam yang betul bagi mengelakkan berlakunya fitnah dan perpecahan,” katanya.

Difahamkan, memandangkan kehilangan janin tidak dapat dilihat secara zahir, maka mangsa tidak perlu menghabiskan tempoh nifas dan boleh beribadat seperti biasa.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/wanita-dakwa-kandungan-ghaib-1.239472

No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.