10.30.2017

KEDEGILAN NOR IZZTI BERBALOI


WALAUPUN dilahirkan kerdil, graduan ijazah Sarjana Muda Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Nor Izzati Saiful Apendi, 23, berjaya membuktikan kemampuan fizikal bukan penghalang bagi menamatkan pelajaran dalam jurusan diminati.
Ibunya Umi Kalthom Abdullah, 56, berkata, Nor Izzati, anak sulung daripada dua beradik itu mengalami masalah tulang belakang atau Osteogenesis Imperfecta sejak lahir hingga menjejaskan tumbesarannya atau kerdil.
Menurutnya, ketika di sekolah rendah, anaknya terpaksa dibawa menggunakan kerusi roda atau didukung bapanya Saiful Affendi Abdul Aziz, 56, pekerja kilang yang juga bisu ke sekolah berikutan kesukarannya untuk bergerak.
Akibat masalah itu, Nor Izzati terpaksa menolak tawaran memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana bimbang tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran.
“Dia kemudian sekali lagi mendapat tawaran memasuki tingkatan empat di MRSM dan dia merayu supaya diberi peluang untuk mengubah masa depannya bagi menjadi OKU berjaya.
“Agak sukar bagi saya untuk beri keizinan kerana bimbang dia tidak mampu menamatkan pengajian, namun azamnya sangat kuat menyebabkan saya terpaksa mengalah selain berdoa supaya setiap urusan dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di USM, hari ini.
Nor Izzati antara 1,283 graduan yang menerima ijazah masing-masing sempena Upacara Konvokesyen ke-55 USM yang disampaikan Pro Canselor Tan Sri Mustafa Mansor, semalam.
Sementara itu, Nor Izzati berkata, ketika di sekolah menengah, dia sudah boleh berjalan dan sejak itu nekad mahu berjaya dalam hidup dan membalas pengorbanan ibu bapanya.
Menurutnya, sehingga kini sudah empat kali kaki kirinya patah lantaran penyakit dihidapi, namun dia tetap mahu menyambung pengajian ke peringkat tertinggi walaupun terpaksa menempuh cabaran terutama ketika belajar di makmal penyelidikan.
“Memang saya sukar hendak capai peralatan di tempat tinggi dalam mamal, namun warga universiti banyak membantu pergerakan selain fasilitinya yang mesra OKU, malah saya turut ditempatkan di asrama mesra OKU membuatkan saya mudah menguruskan diri.
“Saya tak sangka ‘kedegilan’ ini membuahkan hasil dan selepas ini saya mahu mencari kerja sebelum menyambung pengajian ke peringkat tertinggi,” katanya.

SUMBER DARI HARIAN METRO 

No comments:

Post a Comment


Disclaimer : This is a personal blog. Any opinions written in this blog is the opinion of the author and does not Involve any other parties.The author will not be liable for any loss or damage incurred while using the information in this blog. Any action without permission is strictly prohibited.