UTUSAN MELAYU HENTI CETAK AKHBAR




KUALA LUMPUR: Krisis syarikat penerbitan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad yang menanggung beban hutang sehingga menyebabkan kakitangan bekerja tanpa gaji hampir tiga bulan bukan lagi sesuatu yang memeranjatkan.



Lebih menyedihkan lagi apabila syarikat akhbar keramat yang sinonim dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat Melayu itu difahamkan akan memberhentikan operasi mencetak akhbar bermula Rabu.



Menurut sumber rapat, Utusan beroperasi dalam keadaan rugi sejak dua tahun lalu dan kesannya berlarutan sehingga hari ini dengan kegagalan membayar gaji pekerja termasuk melunaskan bayaran pampasan bekas kakitangan yang mengambil Skim Pemisah Sukarela (VSS) pada November tahun lalu.



Difahamkan, operasi harian syarikat hanya akan berjalan menerusi platform digital sehingga diberitahu kelak.

Lebih 100 kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan piket di luar bangunan syarikat akhbar itu bagi menuntut gaji yang tertunggak sejak tiga bulan lalu pada Isnin.


Piket yang berlangsung selama satu jam bermula pukul 1 tengah hari itu diadakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.




0 Comments